Ramai yang nak tahu rahsia, jadi saya gunalah perkataan rahsia pada tajuk artikel ini. Sebenarnya, tak ada rahsia pun kalau nak buat puluhan ribu ringgit melalui internet dalam tempoh sebulan. Cuma malas atau rajin saja. Setuju?
Dan dalam artikel ini juga, saya akan dedahkan rahsia atau kaedah yang menyebabkan kebanyakan IM mendapat puluhan bahkan ratusan ribu melalui internet dengan mudah terutama bagi pasaran Malaysia.
Tujuan artikel ini ditulis ada dua sebab:
- Saya mahu bagitahu teknik rahsia mereka tersebut.
- Saya tidak mahu ramai yang ‘terpedaya’ dengan kaedah yang betul ini. Walaupun ia berkesan, tapi tidak semua orang mampu atau sesuai melakukannya.
Biar saya ulas yang nombor dua dulu..
Mungkin anda pernah melihat dan mendengar, seseorang Internet Marketer (IM) begitu mudah mendapat puluhan ribu dalam beberapa hari sahaja. Kalau tak pun dalam masa sebulan. Agaknya, apakah rahsia mereka ya?
Tak ada rahsia. Mereka gunakan tiga kaedah berikut:
- Mailing List sendiri
- Rakan JV yang ada List besar
- Jumlah rakan JV yang ramai
Selain IM tersebut mempunyai senarai emel (list) sendiri yang besar, tetapi hakikatnya untuk dapatkan jumlah jualan yang besar melalui list sendiri, ia tidak semudah itu. Jadi, mereka akan gunakan mailing list rakan JV iaitu IM lain.
Contoh:
Katakan secara purata setiap IM (rakan JV) ada 1000 emel prospek dalam list masing-masing. Dan jumlah rakan JV yang turut serta dalam promosi produk (pelancaran produk) adalah seramai 15 orang. Jadi:
15 rakan JV x 1000 emel = 15,000 orang prospek!
Katakan harga produk adalah RM90.00 dan hanya 10% sahaja prospek tadi membuat belian (iaitu 1500 orang), maka hasil jualan adalah:
1500 pembeli x RM90.00 = RM135,000.00
Nah, ia hanya matematik. Tiada apa rahsia yang menarik bukan? Inilah kuasa LEVERAGE dan “COMPOUNDING” (lagi ramai rakan JV, lagi besar senarai emel mereka, lagi ramai bakal pembeli!).
Ok, ok. Mungkin ada yang kata 10% tu satu jumlah yang besar. Jadi kita ambil 3% prospek sahaja yang jadi pembeli iaitu 450 orang. Maka jumlah pendapatan adalah:
450 pembeli x RM90.00 = RM40,500.00
Kalau 1% prospek iaitu 150 orang pembeli:
150 pembeli x RM90.00 = RM13,500.00
Mudah, cepat dan senang bukan? Kalau anda mahu pendapatan besar dengan cara yang mudah dan cepat, cubalah kaedah JV sebegini. Tapi tak semudah itu.

Teruskan membaca…
Kaedah menggunakan rakan JV yang ada list ini memang amat menjadi dan berkesan. Sebabnya ada dua:
- Prospek tadi mudah yakin daripada promosi oleh setiap IM tersebut kerana mereka berdaftar di newsletter mereka.
- Prospek teramat ramai! 1% pun dah cukup untuk buat lima angka (RM10 ribu ke atas).
Tetapi ada faktor-faktornya. Mungkin saya akan ulas di lain kali. Cuma saya ingin anda tahu bahawa, tidak semua orang mampu mendapatkan rakan JV yang mempunyai list yang besar kerana:
1. Anda IM yang baru. Tapi ini bukan sebab utama. Kalau produk Ok, komisen pun Ok, deal pun Ok, insyaAllah tawaran JV anda diterima. Saya sendiri pun tidak pilih bulu dalam hal ini. Ramai juga IM baru yang telah saya bantu. Dalam bisnes, kalau kita cukup syarat, insyaAllah baru atau lama bukan penilaian utama. Malah kadang-kadang, IM baru lebih profesional berbanding IM yang senior.
2. Produk tidak unik dan tidak meyakinkan rakan JV. Kalau produk kurang bagus atau ‘packaging product’ yang tidak menarik, maka mereka biasanya tidak berminat. Mereka pun perlu jaga kredibiliti mereka juga.
3. Produk anda tidak sesuai untuk list rakan JV. Kalau rakan JV ada list berkaitan komputer, takkan mereka nak promote produk mengenai cara memasak pulak?
4. “Nasib”. Sekarang begitu banyak produk yang dilancarkan. Setiap minggu, setiap bulan, mesti ada saja produk baru. Saya sendiri pun tak lekang daripada dijemput untuk mempromosikan produk mereka. Jadi, kalau anda “bernasib baik” untuk diterima oleh rakan JV, maka mereka akan promosikan produk anda.
Ingin saya nyatakan di sini, kebanyakan IM termasuk saya bukanlah sombong atau tak mahu membantu. Kami pun ada bisnes sendiri juga yang perlu dijaga. Malah kami pun ada pelbagai JV dengan IM yang lain. Jadi masa amat-amat terhad sekali. Jadi jangan sesekali tuduh IM lain tak nak bantu bangsa sendiri.
5. Produk yang “melawan” usaha perniagaan mereka. Janganlah anda minta usahawan lain promosikan produk anda yang sama dengan produk mereka.
6. Jumlah komisen dan hadiah. Kalau lagi tinggi komisen, biasanya IM lain akan berminat untuk tolong promosikan. Ingat! Mereka adalah sahabat dalam perniagaan. Jangan semata-mata mereka ada list, maka anda berikan mereka komisen sedikit sahaja. Nilai list mereka tidak semurah itu. Hargai kerjasama mereka dan jangan anggap mereka seperti seorang promoter.
7. Tak kena masa. Kalau anda jemput seseorang IM untuk membantu promosikan produk baru anda, cuba tanya khabar dulu mereka ada sibuk dengan JV lain ke tak? Sebaliknya jangan terus jemput. Kalau mereka sedang sibuk promosikan sesebuah produk IM lain dan anda pun nak minta kerjasama mereka, rasanya susah sikitlah. Mereka pun perlu jaga list mereka juga untuk tidak promosikan banyak produk dalam satu masa.
8. Bantuan Promosi. Anda akan GAGAL dalam joint venture jika tidak membantu rakan JV anda dalam promosi. Bagaimana? Caranya adalah “serve” atau “layan” mereka sebaik mungkin. JANGAN sesekali jadikan mereka seperti hamba atau tukang promosi produk anda yang mana anda hanya tahu menyuruh mereka mempromosikan saja. Sediakan apa saja yang mereka perlukan seperti bahan promosi dan sebagainya.
Baik, itu point kedua. Saya siap bagi tip joint venture (JV) lagi. Sekarang, saya cerita pula “rahsia” yang pertama mengapa seseorang IM dapat income yang besar dalam masa yang singkat..
Kebanyakan yang dapat income dalam jumlah besar adalah kerana:
- Mereka jual produk yang menyelesaikan masalah orang RAMAI.
- Produk tersebut dijual dalam harga yang tinggi. RM50.00 tak mainlah.
- Promosi yang berkesan dan “bertubi-tubi” (oleh mereka dan rakan JV mereka)
Tak percaya? Ok, cuba anda buka emel anda yang lepas-lepas dan tengok satu dua emel promosi dari mana-mana IM. Ada tak produk yang berharga kurang dari RM50.00? Ada, tapi tak banyak bukan?
Rata-rata, ia bermula dari RM70.00 sehinggalah kepada RM200.00. Jadi, anda sudah faham mengapa mudah sangat mereka dapat lima angka dalam masa sehari atau dalam masa sebulan saja kan?
Jangan salah faham pula di sini. Ia tidaklah salah menjual dengan harga yang tinggi. Dalam bisnes, salah satu cara untuk gandakan pendapatan bulanan adalah dengan menaikkan harga, letakkan harga yang tinggi atau buat strategi lain seperti
back end. Kalau jual produk RM10.00 je, bilalah nak kaya.
Kalau jual dengan harga RM200, anda hanya perlukan 50 orang pembeli sahaja untuk dapatkan hasil jualan sebanyak RM10,000. Tapi kalau jual produk RM10.00, anda perlu berapa orang pembeli untuk dapatkan hasil RM10,000? Ya, 1000 orang! Kan banyak bezanya tu.
Berkaitan dengan produk yang selesaikan masalah orang, ada juga produk yang bukan penyelesaian pun. Cuma pada promosi, sales letter dan janji sahaja yang digembar-gemburkan. Kita bukan mahu kritik produk sebegitu di sini. Tapi kita boleh belajar satu perkara iaitu promosi yang berkesan yang meyakinkan pembeli.
Malah skim cepat kaya yang salah pun, kita memang perlu menentang benda tu. TAPI dalam masa yang sama, kita duduk dan analisa, apakah penyebab ramai sangat yang terpedaya? Ya, salah satunya marketing seperti “seni mempengaruhi pembeli”. Kalau mereka pengaruhi orang dengan benda tak baik, kita gunalah kaedah itu untuk benda atau produk yang baik dan berguna.
Kesimpulan
Kalau anda tidak menggunakan rakan JV yang ramai, agak sukar untuk dapat puluhan ribu dengan mudah dan cepat melainkan anda ada list yang besar dan berkualiti. Kalau tak ada list yang besar, nak dapat empat angka pun merangkak-rangkak. Ini adalah kenyataan.
Dan lupa untuk saya beritahu,
jangan melihat kejayaan seseorang IM itu
hanya pada jumlah pendapatan pada pelancaran produk, tapi
lihat juga kepada pendapatan beliau yang stabil pada setiap bulan
TANPA melibatkan
produk launching oleh rakan-rakan JV. Tengok, berapa banyak income yang mereka dapat.
Jadi, kebanyakan income usahawan internet yang anda tengok pada screenshot mereka HANYALAH kebanyakannya pendapatan daripada pelancaran produk baru mereka yang dilakukan secara besar-besaran. Sebaliknya BUKAN pendapatan harian atau bulanan yang ‘automatik’ daripada perlaksanaan pemasaran yang konsisten.
Jadi, jika tiada pelancaran produk, maka tiadalah duit banyak yang masuk kerana mereka tiada sistem sendiri yang boleh memberikan mereka pendapatan yang stabil dan berterusan.
Di dalam perniagaan, ada beberapa cara pendapatan. Antara tiganya adalah:
- Pelancaran produk (promosi terhad, rakan JV, harga diskaun..)
- Pendapatan “automatik” yang stabil – “set & forget system”
- Duit cepat (quick cash) seperti menggunakan forum atau list sendiri.
Ketiga-tiga cara di atas jika dikuasai semuanya, maka anda boleh maju ke hadapan. Tapi anda akan mudah keletihan jika hanya menguasai satu sahaja.
Pelancaran produk hanyalah untuk produk yang baru atau produk sedia ada yang dipakejkan semula. Untuk hasilkan produk baru, ia ambil masa. Untuk melancarkan produk bersama rakan JV, ia juga perlukan masa, “tools” dan perancangan yang rapi. Jadi kaedah lain amat penting juga kita kuasai.
Mengapa saya tulis artikel ini?
Ada satu sebab utama iaitu kita sering didedahkan dengan teknik JV. Padahal tidak semua orang mampu atau sesuai melakukannya walaupun kaedah ini adalah kaedah yang amat berkesan.
Selain itu, kita juga tidak dididik dengan kaedah lain. Sebaliknya kita ditunjukkan kaedah menjual seperti salesman iaitu menjual dan mempromosi apabila ada produk baru, tapi produk lama terus dilupakan. Tiada sistem pemasaran, tetapi hanya tahu menjual dan mempromosi sahaja.
Sepatutnya, kita perlu membina “sistem” yang membolehkan kita menjana pendapatan yang berterusan walaupun tidak menggunakan rakan JV atau tidak melakukan pelancaran produk secara besar-besaran. Bagaimana caranya?
…Tak ada jawapan bukan? Haa, itulah yang saya maksudkan. Kita tidak banyak didedahkan dengan kaedah pemasaran yang memberikan hasil untuk jangka masa panjang dan berterusan. Sebaliknya kita sering disensasikan dengan kaedah cepat, mudah dan senang.
Jangan salah faham dengan artikel ini. Saya bukan tidak setuju dengan kaedah ini. TAPI kita lihat, ramai usahawan internet yang baru hanya disuruh buat kaedah JV seperti sudah tidak ada kaedah yang lain. Akhirnya, mereka kecewa apabila mereka gagal mendapat rakan JV yang ada list. Ini yang silapnya.
Sepatutnya, mereka dibimbing agar membina mindset yang kuat dan juga
membina ASET mereka sendiri terlebih dahulu sebelum didedahkan dengan teknik yang advance seperti joint venture. Bagi saya, ada beberapa perkara penting yang perlu diwujudkan dahulu sebelum mula melakukan JV dengan usahawan lain.
Jadi, sudah pasti anda terutama yang baru melakukan perniagaan internet sudah dapat jawapan mengapa jemputan JV anda ditolak mentah-mentah oleh kebanyakan usahawan internet. Anda sebenarnya tertinggal sesuatu yang perlu anda lakukan terlebih dahulu sebelum melakukan kaedah ini.
Membina Sistem Automasi
Saya ada kenal beberapa orang usahawan internet Malaysia yang pendapatan mereka amat stabil walaupun tidak menggunakan rakan JV atau promosi besar-besaran. Mereka lebih fokus kepada pembinaan “sistem” yang saya maksudkan tadi. Mereka BENAR-BENAR
membina perniagaan dan bukan sekadar menjual.
Kelak, apabila mereka telah mempunyai sistem tersebut, mereka tak buat promosi sebulan pun duit tetap masuk. Yang lebih seronok, tak perlu minta tolong orang lain promosikan terutama secara bermusim. Kita berdiri di atas kaki kita sendiri. Takkan asyik nak minta tolong orang saja kan? Sekali sekala ok lah. Tapi kalau selalu, susah juga tu.
Inilah yang patut kita utamakan selain kaedah pelancaran produk besar-besaran. Kita perlu membina dan menguruskan pelanggan kita sendiri serta mencipta sistem pemasaran kita sendiri yang bekerja untuk kita. Dan banyak lagi aspek-aspek perniagaan yang tidak banyak didedahkan oleh pakar-pakar Internet Marketing.
Mengapa ini terjadi?
Saya pun tidak tahu. Mungkin kita lebih terdorong atau sering didorong kepada kaedah yang lebih mudah, cepat dan menyenangkan daripada membina “empayar perniagaan” secara sedikit demi sedikit dan bersusah-susah dahulu. Ia tidak salah, tapi kesannya kelak, kita tiada tempat untuk bergantung bersendirian.
Kita jangan memandang sebelah mata kepada usahawan internet yang biasa-biasa pendapatannya kerana mereka “diam-diam ubi berisi”. Mereka penuh dengan strategi dan memiliki sistem sendiri yang kelak akan memberikan mereka pendapatan secara konsisten.
Walaupun sekarang mereka biasa-biasa, tapi kelak kita dan mereka amat berbeza. Mereka relaks dan tenang, tapi kita hanya bergantung harap pada menjual dan mempromosi sahaja. Mereka hanya perlu berjalan atau duduk, tapi kita sering berlari tercungap-cungap. Hasilnya tetap sama, tapi keadaan adalah berbeza sama sekali.
Akhirnya apabila perasaan bosan sudah menguasai diri, kita akhirnya jatuh dan tidak lagi berusaha. Itulah beza antara usahawan yang ada sistem pemasaran yang “menyeluruh” (street smart marketer) berbanding usahawan yang tiada sistem.
Saya berharap sedikit sebanyak artikel ini membongkar kebenaran yang tidak ramai tahu. Saya menulis dengan niat untuk mencerahkan sedikit keadaan malap yang wujud. Saya tidak mahu dunia Internet Marketing dipersempitkan padahal ia lebih luas daripada yang disangkakan..http://blog.smartusaha.com/.